ada CCTV tau...

Nuffnang

PEMBACA DIHORMATI

Friday, November 2, 2012

PERSEDIAAN PERKAHWINAN YANG WAJIB DIKETAHUI




Biasalah menghampiri hujung tahun ni, pasti ramai yang akan mendapat kad jemputan kahwin.. Betul tak? Memang sudah menjadi kebiasaan bila tiba cuti sekolah, berebut-rebut orang yang ingin menamatkan zaman bujangnya.. Kata orang tua-tua, "perkara yang baik, jangan dilengah-lengahkan". Tapi, bagi yang belum sampai seru untuk mendirikan rumah tangga tu jangan risau, anda pasti akan melaluinya juga suatu hari nanti. So, apa kata kita ambil "mood" dulu dengan mengambil tahu persediaan perkahwinan yang wajib diketahui bagi orang melayu:


1. Memilih jodoh
Islam mengharuskan lelaki dan wanita mencari dan meneliti bakal isterinya serta suami masing-masing seperti yang diterangkan sebelum ini.


2. Memilih bakal isteri
Sunat hukumnya bagi lelaki yang ingin membuat pinangan supaya melihat terlebih dahulu bakal wanita yang akan dipinangnya itu. Islam memberi kebebasan kepada mana-mana lelaki untuk memilih bakal isteri yang sesuai bagi mereka. Untuk membentuk ikatan perkahwinan yang harmoni dan berkat, seseorang itu disarankan supaya mengambil kira panduan yang telah diberikan oleh Nabi S.A.W. iaitu mementingkan faktor agama selain daripada keturunan, harta dan kecantikan.

3. Memilih bakal suami
Perempuan juga digalakkan untuk memilih bakal suami yang baik dan mulia. Nabi S.A.W. menggalakkan wanita supaya memilih lelaki yang mempunyai ciri-ciri berikut:
-Beragama
-Berakhlak mulia
-Beradab
-Mempunyai harta dan keturunan mulia

Diantara tujuan pemilihan calon suami dan isteri ialah untuk memberi kepuasan hati dan keyakinan dalam memilih dan menentukan pasangan suka dan duka kelak. Ini penting sebagai ikhtiar dan permulaan kepada perancangan kehidupan berkeluarga.

4. Meminang

Meminang ialah lamaran seseorang lelaki terhadap perempuan untuk dijadikan isterinya. Dalam maksud lain meminang ialah suatu proses untuk menyatakan keinginan daripada seorang lelaki kepada seorang wanita yang boleh dikahwini dengan tujuan untuk mengahwininya serta suatu ikatan atau perjanjian untuk melangsungkan perkahwinan.

5. Mas kahwin

Setiap akad perkahwinan mestilah mempunyai mas kahwin dalam bentuk benda yang bernilai walaupun kecil atau faedah serta manfaat yang diberikan oleh suami kepada isterinya kerana akad perkahwinan.

Mas kahwin dibahagikan kepada dua jenis:

1. Mas kahwin yang ditentukan dan disebutkan semasa majlis akad dan dinamakan mahar musamma. Mahar musamma dibahagikan kepada 2 jenis:

-Mahar musamma al-Mua'jjal
Mas kahwin yang disebut di dalam akad serta dibayar oleh suami secara tunai dan segera.

-Mahar musamma al-muajjal
Mas kahwin yang disebut semasa akad, tetapi dibayar secara tangguh dan hutang.


2. Mas kahwin yang tidak ditentukan jumlahnya sewaktu akad dan dinamakan mahar mithil. Mas kahwin jenis ini mestilah dibayar kepada pengantin perempuan mengikut kadar penilaian ahli keluarga dan sandara perempuan isteri...

6. Hantaran

Hantaran mengikut adat orang melayu ialah barang yang terdiri daripada mas kahwin, persalinan, buah-buahan dan makanan. Hantaran dibawa pada hari berlangsungnya perkahwinan dan akad nikah sama ada bagi pihak pengantin lelaki kepada perempuan dan pengantin perempuan kepada lelaki dalam jumlah yang ganjil seperti 7,9,11. Membawa hantaran adalah harus dalam syariat Islam selagi benda tersebut bernilai dan membawa faedah serta suci dan tidak ditegah oleh syara'.

7. Kenduri kahwin

Kenduri ialah jamuan yang diadakan untuk meraikan perkahwinan sama ada bagi pihak pengantin lelaki ataupun perempuan. Mengadakan majlis kenduri sunat muakkad hukumnya, iaitu sunat yang sangat dituntut supaya dilaksanakan walaupun secara kecil-kecilan sahaja. Apa yang penting majlis kenduri bukanlah satu cara untuk menunjuk-nunjuk kekayaan dan tidak mencampurkan unsur-unsur maksiat dalam majlis yang berkat itu.

Itulah antara persediaan yang perlu ditempuhi oleh pengantin lelaki dan wanita untuk menempuhi dan melangsungkan perkahwinan. Apa yang penting, Islam tidak pernah menyusahkan seseorang dalam satu perkara. Jika tidak mampu untuk berbelanja besar, cukuplah dengan sekadar apa yang ada dan bersederhana dalam perbelanjaan.

(Rujukan : Ustaz Abd. Latif Muda & Ustazah Rosmawati Ali. 1997. Pengantar Fiqh. Pustaka Salam Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.)






No comments:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...